Perasmian Klinik Kesihatan Pantai Remis

on .

Image 3

Dirasmikan oleh D.Y.T.M Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah pada 19 Julai 2010 bertempat di Klinik Kesihatan Pantai Remis, Manjung, Perak ...

 

 

Image 3

 

 

 

 

 

 

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN

RAJA NAZRIN SHAH

DI MAJLIS PERASMIAN

KLINIK KESIHATAN PANTAI REMIS

TARIKH: 19 JULAI 2010 (ISNIN) JAM: 10.30 PAGI

TEMPAT: KLINIK KESIHATAN PANTAI REMIS, MANJUNG,

PERAK DARUL RIDZUAN

 

“ MEMBINA WARGA SIHAT”

 

 

 

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.

2. Klinik Kesihatan Pantai Remis yang melibatkan kos pembangunan 8.83 juta ringgit merupakan salah satu dari projek kesihatan yang telah diluluskan bagi negeri Perak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Beta telah disembah maklumkan bahawa klinik ini telah disiapkan mengikut jadual dan telah mula memberikan perkhidmatan kepada rakyat Beta sejak 12 Disember 2008.

3. Jika sebuah kenderaan rosak, lebih teruk lagi dilanda kemalangan, kenderaan itu perlu dibawa ke woksyop. Kenderaan tersebut perlu dinilai kerosakannya, dinilai alat gantinya dan dilakukan kerja-kerja pembaikan. Jika kerosakan terlalu teruk dan kemalangan yang berlaku terlalu parah, pembaikan tidak mungkin lagi dilakukan dan kenderaan tersebut di kondem, di isytiharkan tidak selamat, ditamatkan kegunaannya, lalu dilupuskan. Jika bilangan kenderaan yang perlu di baiki terlalu banyak, maka nisbah mekanik – kenderaan menjadi tinggi, woksyop menjadi terlalu sesak dan kenderaan terpaksa menunggu giliran yang lama untuk dibaiki di samping turut mengambil masa yang lama untuk siap dibaiki.

4. Kenderaan yang diselenggarakan dengan baik; air, bateri, minyak enjin, minyak brek, tayar dan pelbagai lagi disemak setiap masa, kebersihan kereta dijaga, di vacuum di bahagian dalaman dan digilap di bahagian luar, dihantar untuk pemeriksaan di woksyop secara berkala, dan dipandu dengan cermat dengan mematuhi undang-undang jalan raya, maka kenderaan tersebut akan dapat mempunyai jangka hayat lebih panjang, kelihatan cantik dan lebih boleh diharap atau reliable dari segi keselamatan ketika di pandu jalan raya. Kenderaan tersebut berada pada tahap baik kerana tuan punya kenderaan itu memiliki disiplin dari segi penyelenggaraan kenderaan begitu juga ketika berada di belakang stereng memandu kenderaan.

5. Jika kenderaan perlu selenggaraan yang rapi, tubuh badan manusia yang sihat lebih memerlukan selenggaraan yang teliti. Tubuh badan manusia itu terdiri dari kombinasi pelbagai organ dalam dan organ luar. Organ manusia itu berfungsi laksana enjin untuk menggerakkan tubuh badan manusia. Organ dalam bukan sahaja lebih banyak, tetapi lebih kompleks dan lebih penting dalam fungsi hidup seseorang manusia, berbanding organ luar yang mudah dilihat berbentuk kulit, rambut, mata, hidung, telinga, gigi, lidah, kuku dan jari. Masalah kesihatan, terutama masalah kesihatan yang besar berpunca dari sifat sambil lewa manusia menyelenggarakan organ dalam, lebih berat lagi apabila manusia melakukan perbuatan-perbuatan yang menzalimi organ dalam. Jika organ manusia rosak dan menjadi kronik, maka ia perlu dirawat dan tempat rawatan untuk manusia adalah di hospital atau klinik perubatan; mekanik yang diperlukan bagi merawat organ manusia yang telah rosak adalah para doktor, jururawat serta paramedik.

6. Jika bilangan yang mengalami organ rosak semakin ramai, maka beban tanggung jawab pusat dan kakitangan perubatan tentulah akan meningkat. Hospital dan klinik perubatan menjadi semakin sesak serta kurang selesa dan tanggungan kewangan juga pastinya meningkat. Inilah senario yang sedang berlaku. Perbelanjaan program kesihatan negara terus meningkat. Bilangan doktor, jururawat dan paramedik terus bertambah demikian juga dengan kemudahan prasarana dan peralatan perubatan. Namun ia masih belum cukup, pesakit yang menanti untuk mendapat rawatan masih beratur panjang. Kenapakah senario ini berlaku? Jawapannya: Kadar pertambahan bilangan pesakit mengatasi kadar pertambahan kakitangan dan kemudahan perubatan. Senario ini menuntut kepada keperluan sumber kewangan negara yang lebih besar begitu juga tambahan perbelanjaan perubatan keluarga. Pertambahan perbelanjaan program kesihatan terutama di peringkat kuratif amatlah tidak produktif dan untuk itu langkah untuk dapat mengurangkannya amatlah penting dipertingkatkan. Pendekatan berbentuk preventif sangat kritikal dan sewajarnya diutamakan, kerana kos perbandingan antara pendekatan preventif dengan pendekatan kuratif memperlihatkan opsyen pendekatan preventif adalah lebih ekonomik di samping dapat meminimumkan kerosakan tubuh badan insan.

7. Dari pengamatan Beta, dua daripada Bahagian Keberhasilan Utama Nasional atau National Key Result Area (NKRA) Kementerian Kesihatan adalah:

(i) Kesedaran Kesihatan dan Gaya Hidup Sihat

(ii) Memperkasa individu dan masyarakat supaya bertanggung jawab ke atas kesihatan diri.

Kedua-dua komponen tersebut jelas memperlihatkan peranan langsung individu dan bukannya institusi.

8. Adalah satu ironi apabila seorang pemuda memiliki karakter begitu mengambil berat atas penyelenggaraan kereta miliknya, digilap pagi dan petang, dihantar ke woksyop untuk pemeriksaan setiap tiga bulan sekali, disemburi cat baru pada setiap calar kecil, dihiasi dengan pelbagai aksesori, dilengkapkan dengan penyaman udara, dilindungi dari panas dan embun; sedangkan untuk tubuh badannya sendiri, dia adalah seorang perokok, mengambil minuman keras secara keterlaluan, mengambil makanan berlemak dan berminyak serta garam dan gula secara berlebihan, tidurnya lewat, tidak langsung beriadah atau bersenam, tidak kisah kepada kebersihan diri, bertubuh gemuk berada dalam obesiti serta terlibat dengan kegiatan-kegiatan tidak sihat.

9. Hari ini terdapat ribuan individu yang tidak mengambil berat memelihara kesihatan diri. Perangkaan terkini terbitan Yayasan Jantung Malaysia menunjukkan 44% warga Malaysia berada dalam kategori obesiti atau berlebihan berat badan, 25% warga Malaysia merokok, 33% warga Malaysia mengalami tekanan darah tinggi, 15% mengidap diabetes atau kencing manis sementara 21% mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi. Enam puluh peratus warga Malaysia tidak langsung melakukan riadah dan hanya 11% yang melakukan riadah secara berdisiplin untuk memenuhi tahap minimum yang diperlukan. Akibatnya bilangan yang menanggung sakit kronik semakin bertambah lalu menjadi beban kepada keluarga, beban kepada pembayar cukai dan beban kepada negara yang terpaksa memikul tanggungan perbelanjaan kuratif perubatan yang tinggi. Mereka tergolong dalam kumpulan tidak produktif malah menjadi liabiliti kepada negara.

10. Warga sihat dan amalan budaya hidup sihat adalah salah satu komponen negara maju. Program membina warga sihat adalah tanggung jawab seluruh warga dan pelbagai institusi terutama institusi keluarga dan bukannya tanggung jawab Kementerian Kesihatan semata-mata. Wawasan Kementerian Kesihatan melaksanakan pendekatan preventif tidak akan tercapai jika dilaksanakan secara isolasi. Ia perlu di sokong secara berselari oleh pelbagai pihak. Antara amalan-amalan mudah yang boleh dilaksanakan:

Pertama: Menyemaikan budaya pemakanan sihat, makanan kurang lemak, kurang minyak, kurang garam dan kurang gula; di sebaliknya memperbanyakkan makanan jenis sirat, sayuran, ulam, buah-buahan dan banyak meminum air bersih tanpa gula.

Kedua: Mengamalkan jadual pemakanan sihat sejak dari kecil dengan mengutamakan sarapan pagi yang lengkap, makan tengah hari yang sederhana dan makan malam yang tidak terlalu berat.

Ketiga: Menjadikan riadah dan bersukan sebagai amalan harian, paling minima berjalan secara pantas sekurang-kurangnya dua puluh minit dalam sehari, atau mengambil opsyen mengayuh basikal untuk ke kedai, ke masjid, ke pasar, ke rumah kawan, supaya jantung dan otot dapat dibawa bersenam dan dilegakan.

Keempat: Mengamalkan pembersihan diri dari segi membersihkan mulut, gigi, muka, kaki dan tangan sebelum tidur dan memakai pakaian bersih dan tidur di tempat dan suasana yang bersih.

Kelima: Memastikan kebersihan rumah dan persekitaran rumah bebas dari dijadikan tempat pembiakan nyamuk, lipas, lalat, cicak dan tikus.

Keenam: Mencari masa setiap hari untuk melapangkan minda dan menenangkan diri dari tekanan, sebaik-baik cara adalah melalui meditasi mendampingi Tuhan Maha Pencipta, bagi orang Islam melalui amalan sembahyang fardu lima waktu dalam sehari serta mengamalkan zikir.

Ketujuh: Meninggalkan perbuatan-perbuatan yang meracun tubuh badan seperti merokok, minuman keras yang keterlaluan, hubungan seksual yang tidak sihat dan pengambilan pil dan dadah tanpa preskripsi.

11. Jika tujuh amalan itu dapat dijadikan rukun kesihatan insan, Beta percaya penyakit dan kuman akan menjauhi kita, dan kita pula akan dapat menjauhkan diri dari terpaksa berulang alik ke hospital dan klinik perubatan. Ingatlah kesihatan di hari tua akan dipengaruhi oleh budaya hidup dari usia anak-anak dan gaya hidup di usia muda.

12. Pada 15 Julai lalu, Kerajaan Persekutuan telah mengkaji semula subsidi terhadap harga gula. Berikutan dari itu harga gula telah meningkat 25 sen sekilo, dari satu ringgit enam puluh lima sen (RM1.65) kepada satu ringgit sembilan puluh sen (RM1.90) sekilo. Tiga minggu dari sekarang, umat Islam akan melakukan ibadah puasa di bulan Ramadan. Peningkatan harga gula dan bulan Ramadan, semoga dapat dijadikan titik penghijrahan terhadap amalan pemakanan lebih sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam tubuh serta melatih diri untuk makan dan minum secara seimbang, sederhana dan sihat.

13. Semoga ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA akan memakbulkan segala niat dan hasrat murni penubuhan klinik ini. Semoga para petugas di klinik ini senantiasa mendapat petunjuk ILAHI dalam menyempurnakan amanah. Semoga warga di Pantai Remis akan mendapat manfaat dari penubuhan klinik ini. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan segala kesyukuran merasmikan Klinik Kesihatan Pantai Remis.

Wabillahi taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.