Kenyataan Akhbar - Seminar Keselamatan Makanan Peringkat Negeri Sempena Tahun Melawat Perak

on .




KENYATAAN AKHBAR
SEMINAR KESELAMATAN MAKANAN
PERINGKAT NEGERI SEMPENA TAHUN MELAWAT PERAK,
4 MAC 2017,
AEON MALL IPOH KLEBANG

Seminar Keselamatan Makanan Peringkat Negeri Sempena Tahun Melawat Perak 2017 telah diadakan pada hari ini dalam suasana majlis yang bersejarah dan cukup meriah bersama-sama dengan pengusaha dan pengendali makanan dikalangan restoran, gerai, medan selera, kedai makan dan hotel serta orang awam.

Justeru itu, sempena Tahun Melawat Perak 2017, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN) dengan kerjasama AEON Mall Ipoh Klebang dan Majlis Bandaraya Ipoh mengambil langkah proaktif untuk mengadakan Seminar Keselamatan Makanan sebagai satu platform untuk menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan makanan dan garis panduan kepada pengusaha dan pengendali makanan sepertimana yang telah digariskan di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan – Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan – Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Keracunan makanan adalah penyakit yang berlaku akibat memakan makanan yang tercemar dengan kuman atau bahan kimia. Tanda-tanda dan gejala keracunan makanan ialah loya dan muntah, memulas dan sakit perut, cirit-birit, dan sakit di bahagian perut. Pada tahun 2016 sebanyak 54 kejadian keracunan makanan telah dilaporkan di negeri Perak. Daripada bilangan tersebut, sebanyak 37 kejadian atau 68.5% melibatkan kantin sekolah, 9 kejadian atau 16.7% melibatkan orang awam, 3 kejadian atau 5.6% lagi melibatkan Institusi Pengajian Tinggi, 4 kejadian atau 7.4% melibatkan Restoran & Resort dan 1 kejadian atau 1.9% melibatkan katering.

Manakala dari bulan Januari hingga Februari 2017, sebanyak 3 kejadian keracunan makanan di negeri Perak telah dilaporkan setakat ini dan kesemuanya melibatkan kantin sekolah.

Penyiasatan kejadian keracunan makanan menunjukkan bahawa pencemaran utama yang berlaku adalah disebabkan oleh pengendalian makanan yang tidak mengikut kaedah yang betul dan suhu penyimpanan bahan mentah yang tidak menepati standard.
Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius mengenai kejadian kes keracunan makanan seperti ini kerana kesannya yang memudaratkan pengguna. Kejadian keracunan boleh dielakkan sekiranya pihak pengendali makanan sama-sama memikul tanggungjawab bagi memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah bersih dan selamat.

Seminar ini merupakan salah satu usaha untuk menangani kes keracunan makanan dengan memberi kesedaran, pengetahuan dan kefahaman tentang kepentingan memilih produk makanan yang bersih, selamat dan berkualiti dan dengan demikian dapat mengurangkan kejadian keracunan makanan.

Di samping itu, seminar ini juga diadakan untuk memberi kesedaran dan menerapkan nilai - nilai murni kepada pengusaha dan pengendali makanan supaya dapat mengamalkan tingkahlaku yang positif dan membudayakan aspek kebersihan dan keselamatan makanan dalam penyediaan makanan yang di kendalikan seiring dengan peruntukan - peruntukan yang telah digariskan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014. Di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun ialah tidak mendaftar premis makanan, tidak mematuhi penjalanan dan penyelenggaraan premis makanan, tidak mematuhi kehendak berhubungan pengendali makanan, tidak mematuhi keperluan khas dalam pengendalian, penyediaan, pembungkusan, penyajian, penyimpanan dan penjualan makanan khusus, dan tidak mematuhi kehendak berhunbungan dengan pengangkutan. Jika disabit kesalahan, denda maksimum adalah RM10,000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi memastikan makanan yang disediakan adalah selamat, pengendali makanan hendaklah sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik. Di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pengendali makanan wajib menghadiri Kursus Pengendalian Makanan di sekolah latihan pengendali makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kursus ini mengambil masa selama tiga (3) jam dan sijil akan dikeluarkan oleh sekolah latihan pengendali makanan tersebut. Pengendali makanan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKN Perak sentiasa menjalankan pemantauan ke atas premis-premis makanan di seluruh negeri Perak. Ops Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Perak yang diadakan secara bulanan merupakan aktiviti penting untuk menjaga kepentingan orang ramai supaya tidak terdedah kepada penjualan produk makanan yang tercemar disebabkan oleh premis makanan yang kotor serta isu kehadiran makhluk perosak di premis makanan seperti LILATI (lipas, lalat dan tikus) sekaligus memastikan produk yang dijual adalah selamat dan tidak menyebabkan keracunan makanan serta mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Pada Januari-Disember 2016, sebanyak 13,199 buah premis telah diperiksa dan 130 premis telah diarahkan tutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan. Manakala pada Januari 2017, 745 premis telah diperiksa dan 11 premis telah diarahkan tutup.

KKM juga telah memperkenalkan satu program pensijilan yang baru iaitu Pengiktirafan "Bersih, Selamat dan Sihat" (BeSS) kepada pengusaha premis makanan bagi menggalakkan pengusaha premis makanan menyediakan makanan yang selamat dan sihat kepada pelanggan. Ianya adalah satu program penambahbaikan terhadap program pemantauan sedia ada yang dilaksanakan oleh KKM. Pengiktirafan ini diberikan kepada pengusaha makanan secara PERCUMA.

Pelaksanaan aktiviti promosi keselamatan makanan secara menyeluruh dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan keselamatan makanan kepada semua individu. Usaha ini perlu mendapat sokongan dari semua pihak supaya perubahan tingkah laku positif tercapai dan berterusan dalam mengurangkan kejadian keracunan makanan.

Disediakan oleh :
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan
Jabatan Kesihatan Negeri Perak

4 Mac 2017