Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan

on .

Pengenalan:

  1. Makanan bukan sahaja merupakan satu komoditi pertanian dan perdagangan tetapi yang lebih penting ia boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan awam. Dengan itu kemampuan untuk mengekalkan perkembangan di dalam sektor makanan bergantung kepada keberkesanan program keselamatan makanan yang bertujuan untuk melindungi pengguna daripada ancaman kesihatan dan penipuan, disamping mengalakkan perdagangan makanan.
  2. Memandangkan kemungkinan kesannya kepada ekonomi dan kesihatan awam terutamanya semasa krisis keselamatan makanan, kepentingan keselamatan makanan atau pengurusan risiko (risk management) tidak boleh dipandang ringan.
  3. Kemajuan dan perkembangan di dalam bidang sains dan teknologi telah melipatgandakan pengeluaran pertanian dan makanan. Walaupun ini mendatangkan manfaat, akan tetapi tanpa sebarang pengawalan ia boleh menimbulkan risiko yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
  4. Perubahan dalam citarasa dan kecenderungan pengguna serta peningkatan pendapatan telah memainkan peranan utama untuk mempelbagaikan pilihan dan kebolehdapatan (availability) makanan. Di samping itu, globalisasi perdagangan makanan, peningkatan kebergantungan ekonomi dan pertukaran budaya juga telah beransur-ansur mempengaruhi penerapan pelbagai citarasa dan kecenderungan pengguna. Ini telah mengakibatkan kemasukkan pelbagai jenis makanan secara meluas ke dalam pasaran, menjadikannya satu bebanan kepada kerajaan kerana sumber yang terhad bagi menjamin keselamatan makanan.
  5. Pelaksanaan perjanjian-perjanjian perdagangan antarabangsa dan serantau akan terus meliberalisasikan perdagangan makanan dan ini mengakibatkan kemasukkan makanan ke dalam pasaran secara mendadak. Dengan termeterainya Perjanjian Sanitary and Phytosanitay Measures(SPS)dan Technical Barriers to Trade (TBT) di bawah Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) negara-negara anggota telah dibebankan dengan kewajipan baru berkaitan keselamatan makanan dalam perdagangan makanan di peringkat antarabangsa bagi melindungi hak-hak negara anggota.
  6. Kesemua tekanan dan cabaran ini telah mendorong kepada keperluan untuk memformulasikan dasar keselamatan makanan kebangsaan yang bersepadu.

Objektif:

Objektif dasar keselamatan makanan kebangsaan ini adalah bertujuan untuk menyediakan halatuju dan memberi penekanan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam pembentukkan dan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan makanan, berteraskan usahasama untuk melindungi kesihatan pengguna.


Skop:

  1. Keselamatan makanan perlu diwujudkan di sepanjang rantaian makanan dari ladang ke meja hidang (farm to table) sekiranya kesihatan pengguna hendak dilindungi sepenuhnya. Ini memerlukan usahasama dan kerjasama daripada pelbagai agensi dan disiplin termasuk agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, pihak industri makanan, pihak pengguna, komuniti saintifik dan sebagainya.
  2. Keseluruhan rantaian makanan perlu merangkumi peringkat-peringkat berikut :-
  • Bekalan Input Pertanian

Keselamatan makanan perlu bermula dengan bekalan bagi input pertanian kepada petani-  petani dan mereka yang terlibat dalam pengeluaran makanan. Ini memandangkan bahan-bahan seperti racun perosak, dadah veterinar dan makanan ternakan boleh menimbulkan risiko yang berbeza, yang memerlukan perhatian yang khusu

  • Pengeluaran Primer

Amalan pertanian dan penggunaan input seperti racun perosak, baja, dadah veterinar dan makanan ternakan boleh membawa kepada paras bahan kimia yang berlebihan dan dengan itu mengakibatkan bekalan makanan seperti daging dan hasilan ayam, itik, ikan dan hasil pertanian yang lain tidak selamat.

  • Pemprosesan Makanan Primer

Perhatian khusus ke atas pemprosesan makanan primer juga diperlukan bagi mencapai keselamatan makanan. Ini merangkumi kebersihan (hygiene) dan sanitasi dan pengendalian selepas tuai seperti semasa penyembelihan di rumah-rumah sembelihan atau semasa susu dihasilkan di ladang, kerana makanan ini mungkin menjadi agen kepada penyebaran ancaman kesihatan.

  • Pemprosesan Makanan Sekunder

Begitu juga dengan pemprosesan makanan sekunder yang merangkumi pelbagai jenis makanan yang diproses di kilang.

  • Pengedaran Makanan

Amalan dan keadaan penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran makanan sama ada bekalan makanan tempatan mahupun yang diimport atau dieksport akan mempengaruhi keselamatan makanan.

  • Peruncitan Makanan

Makanan yang ditawarkan untuk penjualan di saluran peruncitan seperti pasaraya, kedai, pasar dan gerai perlu diberikan penekanan supaya selamat dimakan.

  • Perkhidmatan Penyajian Makanan

Pengendalian, penyediaan dan penyimpanan makanan di premis-premis makanan seperti restoran, kantin, gerai dan perkhidmatan-perkhidmatan penyajian memerlukan kawalan khas berkaitan kebersihan, keselamatan, makhluk perosak dan pengawalan sanitasi, memandangkan kebanyakan penyakit bawaan makanan berpunca daripada pengendalian dan penyediaan makanan yang tidak sanitari.

  • Penyediaan Makanan Di Rumah

Pendidikan pengguna dalam aspek pembelian, penyimpanan, pengendalian dan penyediaan makanan di rumah merupakan unsur utama bagi memastikan penyediaan makanan yang selamat. Pengendalian dan penyediaan yang kurang sempurna di rumah boleh menjejaskan usaha-usaha yang telah di ambil oleh sektor lain dalam menjamin keselamatan makanan