Bahagian Farmasi

on .

PENGENALAN

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dinaungi dan diselia oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) [TPKN(F)] dan bertanggung-jawab terhadap Pengarah Kesihatan Negeri dalam pengendalian fungsi dan aktiviti tiga sub-aktiviti utama iaitu 

  1. Pengurusan Farmasi
  2. Amalan dan Perkembangan Farmasi (Hospital dan Kesihatan Awam)
  3. Penguatkuasa Farmasi. 

Selaras dengan penstrukturan semula sub aktiviti ini, skop perkhidmatan farmasi telah berkembang daripada aktiviti perolehan dan pembekalan kepada aktiviti penjagaan farmaseutikal yang lebih komprehensif serta pendidikan mengenai penggunaan ubat yang betul. Di samping itu, Program Farmasi yang dilaksanakan juga bertanggungjawab untuk memastikan semua keluaran farmaseutikal dan produk penjagaan kesihatan yang berada di pasaran adalah berkualiti, selamat, berkesan dan dikawal mengikut undang-undang serta digunakan secara rasional.



Carta Organisasi

OBJEKTIF

Memastikan semua keluaran farmaseutikal dan produk penjagaan kesihatan yang berada di pasaran adalah berkualiti, selamat, berkesan dan dikawal mengikut undang-undang yang berkaitan serta digunakan secara rasional.

CAWANGAN PENGURUSAN FARMASI
Program Farmasi adalah salah satu dari 5 program utama Jabatan Kesihatan Negeri Perak.  Spektrum dan Ekspetasi aktiviti ini adalah luas yang juga melibatkan aspek pengurusan yang melibatkan semua hospital-hospital dan poliklinik komuniti di seluruh Negeri Perak. Ini termasuklah pentadbiran, penjawatan dan latihan.

Selain daripada itu, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Perak juga terlibat secara terus dengan pengurusan aktiviti Farmasi dengan Ibu Pejabat Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Petaling Jaya.

Pengurusan Farmasi bertanggungjawab untuk memastikan perancangan strategik dan dasar perkhidmatan farmasi dilaksanakan mengikut sasaran yang ditetapkan, pengagihan sumber manusia mengikut keperluan dan kepentingan perkhidmatan, pembangunan modal insan yang relevan dan berterusan dilakukan, sistem kualiti diterap dan diamalkan di dalam perkhidmatan di setiap peringkat serta memastikan urusan pentadbiran dan kewangan yang mantap dilakukan mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Bagi pengurusan penjawatan, terdapat tiga (3) kategori jawatan utama yang diuruskan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi:
  1. Pegawai Farmasi
  2. Penolong Pegawai Farmasi
  3. Pembantu Tadbir (Stor)

 Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Perak akan menguruskan pertambahan jawatan. Pertambahan jawatan dapat membantu proses pemurnian penjawatan dan memenuhi keperluan sumber manusia di semua fasiliti termasuk Klinik 1 Malaysia. Walaubagaimanapun pertambahan jawatan ini sangat diperlukan dari masa ke masa selaras dengan pertambahan perkhidmatan, fasiliti dan beban kerja. Selain itu, pertambahan ini juga diperlukan untuk menampung penjawatan yang diisi oleh Pegawai Farmasi Pelatih.

Perkhidmatan Farmasi

Perkhidmatan Tambah Nilai VAS (Value Added Service)

i)   Sistem Pendispensan Kad Temujanji
Semua hospital dan 66 Klinik Kesihatan yang ada Pegawai Farmasi telah menyediakan Sistem Pendispensan Kad Temujanji. Melalui Sistem Kad Temujanji, bekalan ubat susulan akan disediakan terlebih dahulu oleh Jabatan Farmasi sebelum pesakit datang, maka pesakit tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bekalan ubat mereka. Pesakit H. Taiping dan KK Taiping juga boleh mengambil ubat mereka di kaunter Farmasi Pandu Lalu.

ii) 
Perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia
Perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1 Malaysia ini disediakan oleh Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Taiping, Teluk Intan, Seri Manjung, Slim River, KK Greentown, KK Pasir Pinji, KK Gunung Rapat, KK Kg Simee dan KK Manjoi, KK Buntong dan KK Jelapang. Melalui perkhidmatan UMP 1 Malaysia, ubat pesakit untuk bekalan susulan akan dikirim ke rumah pesakit dan pesakit hanya perlu membayar RM5 untuk perkhidmatan Poslaju sahaja.

iii)  Perkhidmatan SMS dan Ambil/ Telefon dan Ambil
Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Taiping, Teluk Intan, Seri Manjung, Selama dan Kampar menawarkan Perkhidmatan “SMS dan Ambil”. Hospital Taiping, Slim River, Parit Buntar , KK Kamunting, KK Kuala Sepetang, KK Batu Kurau dan KK Redang Panjang juga menawarkan perkhidmatan “Telefon dan Ambil”.
Melalui perkhidmatan ini, Jabatan Farmasi akan menghantar notifikasi tarikh temujanji melalui SMS/ panggilan telefon kepada pesakit untuk mengambil bekalan ubat susulan mereka.Untuk pesakit H. Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, mereka boleh mengambil ubat di Farmasi Pandu Lalu.
Untuk Pesakit KK Batu Kurau, mereka ditawarkan pilihan untuk menelefon Jabatan Farmasi untuk memaklumkan tarikh dan masa mengambil ubat yang dipilih mereka, dan bekalan ubat susulan mereka akan disediakan terlebih dahulu oleh Jabatan Farmasi.

iv)  Perkhidmatan Letak & Ambil
Perkhidmatan “Letak & Ambil” ditawarkan di 5 hospital, iaitu Hospital Seri Manjung, Hospital Slim River, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Changkat Melintang, Hospital Selama dan Hospital Sungai Siput. Melalui perkhidmtan ini, pesakit boleh mendapat bekalan ubat tanpa menunggu lama. Mereka boleh meletakkan preskripsi di kaunter/ bekas yang telah disediakan dan bekalan ubat mereka akan disediakan oleh Jabatan Farmasi. Pesakit kemudian boleh mengambil bekalan ubat tersebut dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

v)  Perkhidmatan Temujanji SPUB / SPUB Ekspres
Perkhidmatan Temujanji SPUB/ SPUB Ekspres disediakan oleh H. Kuala Kangsar, KK Bidor dan KK Sungkai. Bekalan ubat SPUB untuk pesakit akan disediakan terlebih dahulu dan pesakit SPUB tidak perlu menunggu lama untuk mengambil ubat mereka.

vi) 
Perkhidmatan Sistem Porter / Farmasi Bergerak
Perkhidmatan Sistem Porter disediakan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk pesakit Haemodialisis. Preskripsi berkenaan akan dihantar kepada Jabatan Farmasi pada waktu pagi sementara pesakit menjalani rawatan Heemodialisis. Jabatan Farmasi akan menyediakan ubat tersebut supaya pesakit mendapat bekalan tersebut pada waktu petang.

Hospital Slim River menawarkan Perkhidmatan Farmasi Bergerak.kepada pesakit Hospital Slim River yang menjalani rawatan Haemodialisis di KK Tg Malim. Pesakit tersebut tidak perlu pergi ke Hospital Slim River untuk mengambil ubat. Jabatan Farmasi Hospital Slim River akan menyediakan bekalan ubat susulan dan mendispens kepada pesakit semasa mereka menjalani rawatan Haemodialisi di KK Tg Malim.