
KEJOHANAN FUTSAL KERISDAR 2026 MERIAHKAN SEMANGAT KESUKANAN WARGA HOSPITAL SERI ISKANDAR
1 Ogos 2026 | Sabtu | Gelanggang Futsal Dynamic, Bota
Kelab Kebajikan dan Rekreasi Hospital Seri Iskandar (KERISDAR) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Futsal KERISDAR 2026. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Dr Nor Sahliza binti Rahman, Pengarah Hospital Seri Iskandar,
dalam ucapannya menekankan kepentingan pembudayaan gaya hidup sihat, semangat kerja berpasukan serta pengukuhan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja.
Kejohanan yang terbuka kepada warga kerja Hospital Seri Iskandar (HSI) dan staf Edgenta ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan 5 pasukan kategori lelaki dan 7 pasukan kategori wanita. Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta mempamerkan semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama yang tinggi dalam setiap perlawanan.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Hospital Seri Iskandar dalam memperkukuh budaya kerja yang sihat, aktif dan sejahtera, di samping menyokong kesejahteraan fizikal serta mental warga kerja selaras dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Hospital Seri Iskandar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peserta, urus setia, pengadil, penyokong serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan Kejohanan Futsal KERISDAR 2026.
"Warga Sihat, Organisasi Cemerlang."


