
LAWATAN KERJA TPKN(F) KE UNIT FARMASI HSI
5 Ogos 2026 - Warga kerja Unit Farmasi Hospital Seri Iskandar berbesar hati menerima lawatan kerja Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Tuan Haji Zulkhairi bin Mohamed Daud, yang diiringi oleh Puan Norirmawath binti Saharuddin dan Encik Zulhilmi bin Aladdin daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
Terdahulu, Tuan Haji Zulkhairi telah menyempurnakan perasmian Program Pemantapan Kemahiran Analisa Impak Peruntukan Negeri Perak anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Perak yang berlangsung di Dewan Persidangan, Hospital Seri Iskandar.
Selesai sesi ucaptama, rombongan dibawa melawat ke beberapa unit di bawah Perkhidmatan Farmasi termasuk Jabatan Kecemasan dan Trauma. Dalam sesi tersebut, Dr. Muhammad Khidir bin Mohd Kamil, Pakar Perubatan Kecemasan, telah berkongsi mengenai pengoperasian Unit Farmasi Satelit (Kecemasan) serta menekankan peranan penting Pegawai Farmasi dalam memastikan pendispensan ubat dilaksanakan secara selamat, tepat dan berkualiti demi keselamatan pesakit.
Lawatan diteruskan ke Unit Farmasi Logistik, di mana rombongan berpeluang meninjau sistem amaran suhu yang digunakan bagi memastikan penyimpanan ubat-ubatan sentiasa mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti.
Sepanjang lawatan, Tuan Haji Zulkhairi turut mengambil maklum berhubung kekangan tenaga kerja di Unit Farmasi, khususnya melibatkan Pegawai Farmasi Klinikal yang memainkan peranan penting dalam penjagaan farmakoterapi pesakit di wad.
Sebelum mengakhiri lawatan, rombongan turut mengunjungi Unit Farmasi Pesakit Dalam, Pusat Maklumat Ubat dan Unit Farmasi Pesakit Luar. Perkongsian turut diberikan mengenai perkhidmatan Diabetes Medication Therapy Adherence Clinic (DMTAC) serta Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (Lokar Ubat), di samping meninjau pengurusan stor di setiap unit.
Semoga lawatan kerja ini dapat terus memperkukuh kerjasama, memperkasa amalan terbaik serta menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan farmasi yang berkualiti, selamat dan berfokuskan pesakit demi kesejahteraan masyarakat.


