
SAMBUTAN MINGGU PENYUSUAN SUSU IBU 2026 PERINGKAT HOSPITAL SERI ISKANDAR
Alhamdulillah, telah berlangsung Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Hospital Seri Iskandar Tahun 2026 anjuran Unit Kejururawatan dengan tema:
“Penyusuan Susu Ibu Sebagai Asas Kehidupan Lestari: Perkukuhkan Amalan Yang Berkesan.”
Sebagai salah satu pengisian sambutan, Program Promosi Penyusuan Susu Ibu 2026 telah diadakan pada 20 Ogos 2026 bertempat di Lobi Utama, hadapan Klinik Pakar, Hospital Seri Iskandar.
Kemuncak sambutan pula telah diadakan pada 28 Ogos 2026, dengan majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Hospital Seri Iskandar, Dr. Nor Sahliza binti Rahman, serta diserikan dengan gimik perasmian pemilihan Buku Antenatal atau lebih dikenali sebagai Buku Pink.
Gimik pemilihan Buku Pink ini menjadi simbolik bermulanya perjalanan seorang wanita melangkah ke alam baharu sebagai seorang ibu. Sama ada dipanggil ibu, mama, mummy, bonda atau apa jua gelarannya, setiap panggilan membawa erti kasih sayang, pengorbanan dan kemuliaan yang tiada nilainya.
ANTARA PENGISIAN DAN AKTIVITI MENARIK YANG DIADAKAN:
1. Ceramah Pemakanan Ibu Hamil
2. Sesi Perkongsian Berkaitan Penyusuan Susu Ibu
3. Persembahan Sajak “Titisan Emas Cinta Ibu” oleh KJ Nor Anita binti Mohd Yusuf
4. Persembahan Pantomin “Mertua Versus Menantu”
5. Pameran Buku Antenatal / Buku Pink
6. Kuiz Interaktif Kahoot
7. Permainan & Aktiviti Menarik
8. Pertandingan dan Penyampaian Hadiah
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kepentingan penyusuan susu ibu, malah menjadi platform untuk menggalakkan sokongan berterusan daripada suami, keluarga, masyarakat serta warga kesihatan kepada setiap ibu yang memilih untuk menyusukan anak.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Unit Kejururawatan serta semua ahli jawatankuasa atas komitmen, dedikasi dan usaha dalam menjayakan program ini.
Semoga usaha murni ini terus menyemarakkan amalan penyusuan susu ibu demi melahirkan generasi yang lebih sihat dan sejahtera.
SUSU IBU, ASAS KEHIDUPAN. SEJAHTERA BERSAMA


