MAJLIS PENYAMPAIAN PENSIJILAN KESELAMATAN MAKANAN KEPADA INDUSTRI MAKANAN DI PERAK SEMPENA LAWATAN KERJA RASMI TIMBALAN KETUA PENGARAH KESIHATAN (KESELAMATAN & KUALITI MAKANAN) KE NEGERI PERAK
20 JANUARI 2025
YBrs. Ts. Norrani binti Eksan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) telah meluangkan masa untuk menyempurnakan sesi penyampaian pensijilan keselamatan makanan kepada beberapa industri dan premis makanan di negeri Perak sempena lawatan kerja rasmi ke Negeri Perak pada 20 dan 21 Januari 2025.
Sesi yang pertama dimulakan dengan penyerahan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) kepada pihak PKH Enterprise yang merupakan pengusaha kacang putih yang terkenal di Ipoh, Perak yang diwakili oleh En. Hemachandran. YBrs. Ts. Norrani binti Eksan turut berkesempatan melawat ke kawasan pemprosesan produk kacang putih selepas selesai sesi penyerahan.
Sesi yang kedua diteruskan dengan penyampaian sijil dan plat pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) kepada 11 buah outlet Old Town White Coffee di negeri Perak dan sesi penyampaian telah diadakan di OLDTOWN White Coffee @ Taman Botani, Ipoh, Perak. Tahniah diucapkan buat semua 11 premis outlet yang telah menerima pengiktirafan BeSS. Ada BeSS barulah Best.
Sesi pada hari pertama lawatan diakhiri dengan lawatan ke Team Some Sdn Bhd yang merupakan sebuah perusahaan yang menyediakan produk Dim Sum yang amat terkenal di Ipoh iaitu Canning Dim Sum. YBrs. Ts. Norrani binti Eksan dalam sesi ini mengambil kesempatan mengadakan lawatan ke dalam premis pemprosesan Dim Sum dan seterusnya menyampaikan plat dan sijil HACCP dan BeSS kepada pihak syarikat.
Turut hadir sepanjang sesi lawatan adalah YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, YBrs. Cik Afiedah binti Munir@Muhammad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) JKN Perak, Dr. Husna Maizura binti Ahmad Mahir, Timbalan Pengarah kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKN Perak, wakil daripada Ibu Pejabat Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan anggota dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKN Perak.
SESI RAMAH MESRA TIMBALAN KETUA PENGARAH KESIHATAN (KESELAMATAN & KUALITI MAKANAN) BERSAMA ANGGOTA BKKM NEGERI PERAK
21 JANUARI 2025
YBrs. Ts. Norrani binti Eksan turut mengambil kesempatan semasa lawatan kerja rasmi ini mengadakan kunjungan hormat kepada YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak dan seterusnya mengadakan lawatan ke pejabat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.
Siri lawatan kerja rasmi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) (TKPK (K&KM), YBrs. Ts. Norrani binti Eksan di negeri Perak turut diisi dengan Sesi Ramah Mesra TKPK (K&KM) bersama semua anggota BKKM, JKN Perak termasuk anggota-anggota yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan juga Makmal Kesihatan Awam Ipoh (MKAI).
Dalam ucapan semasa Sesi Ramah Mesra tersebut, YBrs. TKPK (K&KM) menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada semua anggota BKKM, JKN Perak di atas segala usaha dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan makanan di Negeri Perak. Beliau turut menyeru kepada semua warga kerja agar terus mengekalkan pretasi yang cemerlang dalam menggalas tugas sebagai “The Gate Keeper for Food Safety in Malaysia” amnya, dan di negeri Perak khasnya. Sesi Ramah Mesra ini turut memberikan ruang kepada semua anggota untuk mengutarakan sebarang persoalan, isu, cadangan dan pandangan daripada warga kerja di lapangan.