MAJLIS PELUNCURAN PELAN ANTIRASUAH ORGANISASI JABATAN KESIHATAN NEGERI PERAK
16 Januari - Telah diadakan Majlis Peluncuran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kesihatan Negeri Perak yang telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
JKN Perak telah membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi 2025-2029, khusus untuk jabatan ini, sebagai dokumen dasar antirasuah dalam usaha untuk memperkukuh integriti warga kerjanya. Pelan ini adalah manifestasi usaha jabatan yang komited mendukung agenda pemantapan tatakelola dalam menjalankan fungsi sebagai pemberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negeri Perak. Untuk makluman bersama, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah dijadikan rujukan utama dan panduan semasa pembangunan kerangka utama pelan ini.
Terkandung di dalam pelan ini adalah bidang-bidang keutamaan berisiko yang telah dikenalpasti dan strategi-strategi mampan yang diharap dapat mempertingkatkan keberkesanan dan ketulusan dalam pengurusan bidang-bidang berisiko tersebut. Pelan ini boleh ditambahbaik sejajar dengan keperluan untuk membolehkan matlamat optimum tercapai.