MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN DISEMBER 2025 JABATAN KESIHATAN NEGERI PERAK

Perhimpunan Bulanan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah diadakan pada 18 Disember 2025 di Dataran D’Mesra, JKN Perak. Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato' Dr. Feisul Idzwan bin Dato' Mustapha dan turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri dan seluruh warga JKN Perak.
Majlis diserikan lagi dengan meraikan anggota-anggota cemerlang dalam Anugerah Pekerja Contoh Bulanan (APCB) November dan Disember 2025:
Tahniah diucapkan kepada penerima anugerah yang berdedikasi dan menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam yang cemerlang. Semoga Anugerah ini dapat memberi suntikan semangat kepada warga kerja JKN Perak yang lain. Dato’ Pengarah Kesihatan Negeri turut memberikan anugerah kepada anggota di Ibu Pejabat JKN Perak yang telah merealisasikan hasrat murni beliau melalui tiga kategori pencalonan iaitu:
- Anugerah Irama Dan Arena
- Anugerah Pena Inspirasi
- Anugerah Jiwa Prihatin
Selain itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) bersama Dato’ Pengarah turut menyampaikan Sijil Pengiktirafan Hospital Rakan Bayi kepada empat (4) buah hospital yang telah berjaya mengekalkan status Hospital Rakan Bayi bagi tempoh tiga (3) tahun, iaitu:
- Hospital Sungai Siput
- KPJ Ipoh
- Hospital Batu Gajah
- Hospital Kuala Kangsar
Tahniah diucapkan kepada semua hospital atas komitmen berterusan dalam menyokong dan memperkukuhkan amalan penyusuan susu ibu serta penjagaan kesihatan ibu dan bayi.
Seterusnya, Dato’ Pengarah bersama Timbalan Pengarah Perubatan telah menyampaikan sijil penghargaan Anugerah Inovasi Kementerian Kesihatan Malaysia (Aikkm) kepada Pasukan Adrenaline dari HRPB yang telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Produk menerusi inovasi hebat mereka, iaitu 'BFMP Kit' (Bloos Film Makin Procedure Kit) dan Kumpulan Perintis dari HBUK yang berjaya merangkul Tempat Ketiga bagi Kategori Perkhidmatan dengan inovasi mereka, 'Perintis'. (Program Pendidikan Rehabilitasi Inklusif Dan Integrasi Nasional). Kejayaan ini membuktikan komitmen warga kerja kita dalam memartabatkan inovasi demi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Dato’ Pengarah turut menekankan agar semangat, komitmen serta budaya kerja cemerlang seperti ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan secara berterusan oleh seluruh warga JKN Perak. Usaha berpasukan, integriti, inovasi serta keprihatinan dalam menyampaikan perkhidmatan hendaklah terus diperkukuhkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, berkesan dan berfokuskan rakyat. Beliau turut berharap agar tahun 2026 menjadi tahun yang lebih gemilang, dengan pencapaian yang lebih mampan dan berimpak tinggi.


