|
|
MAJLIS SAMBUTAN WORLD HAND HYGIENE DAY PERINGKAT JABATAN KESIHATAN NEGERI PERAK MERIAH DI TELUK INTAN Hospital Teluk Intan (HTI) telah diberi penghormatan sebagai penganjur Majlis Sambutan World Hand Hygiene Day Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak 2026 yang berlangsung dengan penuh meriah di Arena Square, Teluk Intan. Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Dr. Feisul Idzwan bin Dato’ Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Haji Meor Redwan bin Mahayudin, Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Puan Mufidah binti Mahfodz, Pegawai Daerah Hilir Perak,Dato’ Dr. Ker Hong Bee, Ketua Jabatan, Pakar Perunding Kanan Perubatan & Penyakit Berjangkit Hospital Raja Permaisuri Bainun merangkap Penyelaras Kawalan Infeksi Negeri Perak, serta Dr. Nordin bin Nasir, Pengarah Hospital Teluk Intan. Sebelum majlis perasmian berlangsung, program dimulakan dengan Fun Run 5 Kilometer yang berjaya menarik penyertaan lebih 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan antara warga kesihatan dan komuniti setempat. Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang sambutan, antaranya pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan, reruai penaja, pameran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta program derma darah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Sambutan pada tahun ini membawa tema "Action Saves Lives", yang menekankan bahawa amalan kebersihan tangan merupakan langkah mudah tetapi amat berkesan dalam mencegah penyebaran jangkitan dan menyelamatkan nyawa. Tema ini turut menyeru seluruh masyarakat agar menjadikan kebersihan tangan sebagai amalan harian demi melindungi diri, keluarga dan komuniti. Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan tangan sebagai salah satu langkah utama dalam pencegahan penyakit berjangkit, di samping memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, rakan strategik dan komuniti dalam usaha membudayakan amalan kesihatan yang lebih baik. Hospital Teluk Intan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak, semua agensi kerajaan yang terlibat, rakan-rakan strategik, sukarelawan, petugas kesihatan, ahli jawatankuasa penganjur serta semua peserta dan orang ramai yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang penganjuran program ini. Penghargaan turut dizahirkan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan sokongan dalam menjayakan sambutan ini. Semoga semangat kerjasama yang terjalin dapat diteruskan bagi memperkukuh usaha mempromosikan amalan kebersihan tangan serta meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.
|


