
|
Unit Audiologi Jabatan ORL HTI telah menyertai Pertandingan Poster Presentation bersempena 1st Newborn Hearing Screening Convention 2024 yang telah diadakan pada 1-2 Oktober 2024. Konvensyen peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Jabatan ORL Hospital Sultan Idris Shah Serdang dengan kerjasama Profesion Audiologi KKM & Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia (MANSA) dan telah disempurnakan oleh YBrs. Dr Faizal Bin Mat Arifin, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Unit Audiologi HTI yang diwakili oleh En Mohd Fairul Syafiq b. Harun (Pegawai Audiologi) telah membentangkan poster yang bertajuk _*An Insight Into the Quality Improvement of Newborn Hearing Screening Program In Hospital Teluk Intan*_ . Poster yang mempamerkan kejayaan Program Saringan Pendengaran Bayi HTI dari tahun 2023 - 2024 telah berjaya menarik hati juri lantas memenangi anugerah saguhati di konvensyen tersebut. Lonjakan pencapaian Program Saringan Pendengaran Bayi HTI dari tahun 2023 hingga 2024 turut mendapat pujian dan pengiktirafan daripada profesor dan ahli akademik serta peserta konvensyen ini. Untuk makluman, Program Saringan Pendengaran Bayi dilaksanakan dengan tujuan mengesan masalah pendengaran dalam kalangan bayi yang baru lahir dan ini bertepatan dengan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu untuk memperkasakan program saringan kesihatan agar intervensi awal dapat dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit. Program Saringan Pendengaran Bayi HTI telah berjaya meningkatkan prestasi kadar liputan dari 57.4% pada tahun 2023 kepada 92.5% pada penggal pertama 2024. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua Petugas Saringan Pendengaran Bayi HTI dan ahli jawatankuasa Program Saringan Pendengaran Bayi HTI atas usaha yang memberangsangkan. |


