
Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kali ke-33 Tahun 1446H/ 2024M telah diadakan pada 6 hingga 8 Oktober 2024 bertempat di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah Darul Aman dengan tema “Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati”.
Majlis ini telah diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM yang telah sudi untuk merasmikan penutupan majlis tersebut. Turut hadir memeriahkan majlis ini adalah Pengarah-Pengarah Kesihatan Negeri pegawai-pegawai daripada Ibu Pejabat KKM dan JKN Kedah serta para penyokong daripada setiap negeri. Tidak ketinggalan untuk memberi sokongan kepada peserta Qari dan Qariah daripada JKN Perak adalah YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri (PKN) Perak.
Seramai 30 orang peserta Qari dan Qariah mewakili negeri masing-masing telah mengambil bahagian dan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Tahniah diucapkan kepada Dr. Siti Syahira binti Isa daripada Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah (PKPD) Hulu Perak yang mewakili JKN Perak kerana telah dinobatkan sebagai Johan Kategori Qariah. Ucapan penghargaan juga kepada Dr. Akmal Afif bin Ahamad daripada Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang yang telah mewakili JKN Perak bagi kategori Qari.
Purata markah yang dikumpul oleh peserta ini telah membantu JKN Perak menjadi Johan Keseluruhan peringkat KKM. Tahniah diucapkan kepada pasukan JKN Perak kerana telah mempamerkan persembahan yang terbaik sehingga berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan.
Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada pihak penganjur bersama iaitu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah selaku tuan rumah kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan jayanya.


