MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN SEPTEMBER TAHUN 2024 JABATAN KESIHATAN NEGERI PERAK
27 September 2024 - Majlis Perhimpunan Bulanan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah diadakan di Dataran D’Mesra, JKN Perak. Majlis disempurnakan oleh YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri dan juga turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Wakil Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri dan seluruh warga JKN Perak.
Pengarah Kesihatan Negeri Perak telah menyampaikan beberapa pesanan daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara kepada penjawat awam dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara dengan menekankan pelaksanaan dan pembaharuan Perkhidmatan Awam 2024 hingga 2030. Selain itu, beliau turut menyantuni semangat atau nilai yang terkandung dalam M.A.L.A.Y.S.I.A yang membawa kepada perincian nilai Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah dan Arif yang perlu dijiwai oleh semua perkhidmatan awam kepada rakyat.
Dalam ucapan YBrs. Pengarah Kesihatan Negeri juga telah memberikan pesanan kepada semua warga JKN Perak supaya mengamalkan itqan dalam kehidupan seharian. Itqan dalam bekerja iaitu melaksanakan satu tuntutan daripada seseorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikit pun dengan sesempurna mungkin disertai dengan usaha yang kuat. Selain itu, beliau juga menasihati supaya menggunakan sumber yang sedia ada secara optimum serta menukar input kepada output yang lebih berguna.
Perhimpunan kali ini lebih bermakna dengan Gimik Perasmian Sambutan Hari Farmasi Sedunia dengan tema Ahli Farmasi: Memenuhi Keperluan Kesihatan Global. Sebelum perhimpunan berakhir, majlis telah mengumumkan pemenang bagi Pertandingan Sudut EKSA Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang telah berlangsung dari 7 Ogos 2024 hingga 13 September 2024 dan menobatkan Sub Zon Panglima Hitam (Bahagian Pengurusan) sebagai Johan, Sub Zon Ahmad Boestamam (Bahagian Kesihatan Awam) sebagai Naib Johan serta Sub Zon Ngah Ibrahim (Bahagian Farmasi) di tempat ketiga. Syabas dan tahniah diucapkan.


