MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN JULAI TAHUN 2024 JABATAN KESIHATAN NEGERI PERAK
30 Julai - Majlis Perhimpunan Bulanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak diadakan di Dataran D’Mesra, Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Majlis disempurnakan oleh YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri. Majlis Perhimpunan ini juga turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Wakil Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua-Ketua Unit dan seluruh warga Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
Pengarah Kesihatan Negeri mengucapkan selamat datang kepada Dr. Husna Maizura binti Ahmad Mahir yang telah mula bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), JKN Perak mulai 29 Julai 2024. Semoga dengan pelantikan ini dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada JKN Perak.
Pengarah Kesihatan Negeri juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Bahagian Pergigian Negeri Perak yang telah memenangi tempat pertama bagi kategori Quality Assurance dengan projek bertajuk ‘Reducing The Percentage of Patients Developing Active Caries Within Six (6) Months After Comprehensive Dental Treatment Under General Anesthesia In Pediatric Dental Department, Hospital Slim River’.
Dalam ucaptama Pengarah Kesihatan Negeri telah memberikan nasihat tentang pengertian A.D.A.B dengan lebih rasional untuk memperbaiki diri sama ada dalam bidang profesion mahupun kehidupan. Sehubungan itu, sebagai Penjawat Awam, kita perlu sentiasa bertanggungjawab ke atas apa yang diperkatakan supaya sentiasa berkeperibadian tinggi, sama ada ketika bekerja mahu pun selepas waktu bekerja. Ianya merupakan cerminan imej perkhidmatan awam yang taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Negara dan Kerajaan.
Perhimpunan kali ini lebih bermakna dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat JKN Perak oleh Pengarah Kesihatan Negeri bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. Pengarah Kesihatan Negeri juga memohon agar setiap premis bangunan di JKN Perak dan semua Pusat Tanggungjawab serta fasiliti kesihatan di negeri Perak dihiasi dengan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotik terhadap negara Malaysia yang tercinta.


