MAJLIS AMANAT PENGARAH KESIHATAN NEGERI PERAK TAHUN 2026 JABATAN KESIHATAN NEGERI PERAK

20 Januari 2026 - Majlis Perhimpunan Amanat Pengarah Kesihatan Negeri Tahun 2026 Jabatan Kesihatan Negeri Perak diadakan di Auditorium, Hospital raja Permaisuri Bainun. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato' Dr. Feisul Idzwan Bin Dato' Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri (PKN) Perak dan turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua-Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), Ketua-Ketua Unit dan Seluruh Warga JKN Perak.
Pengarah Kesihatan Negeri dalam amanat beliau, mengucapkan tahniah di atas pencapaian dan kejayaan daripada enam bahagian iaitu Bahagian Perubatan, Bahagian Kesihatan Awam, Bahagian Pengurusan, Bahagian Pergigian, Bahagian Farmasi dan Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak sepanjang tahun 2025.
Dalam ucaptama beliau, tiga skop utama digariskan sebagai panduan hala tuju bersama:
Skop 1: Memperkukuh Perkhidmatan kepada Rakyat
Lima fokus utama telah digariskan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mampan, termasuk pengurusan kewangan yang baik, naik taraf fasiliti termasuk fasiliti daif, pendigitalan perkhidmatan, pengukuhan integrasi antara perkhidmatan primer dan hospital, serta usaha berterusan ke arah eliminasi kanser serviks demi kesejahteraan rakyat.
Skop 2: Kesihatan Awam & Persekitaran
Fokus diberikan kepada pengukuhan penyampaian maklumat melalui media sosial bukan sekadar memberi info, tetapi membina kepercayaan dengan masyarakat. Usaha ini juga merangkumi pelaksanaan polisi dan persekitaran yang menyokong kesihatan, selaras dengan visi Perak sebagai ‘Health Promoting State’, perubahan positif bermula dengan kita semua.
Skop 3: Budaya, Nilai & Kepimpinan
Penekanan diberikan kepada membina tempat kerja yang menyokong kesejahteraan dan menjadikannya ‘tempat milik bersama’. Ketua berperanan sebagai pembentuk budaya, bukan sekadar pengurus, dengan kejayaan diukur melangkaui angka semata-mata. Setiap individu digalakkan menjadi versi yang lebih baik daripada semalam, mewujudkan organisasi yang berdaya saing, berintegriti dan harmoni.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik, termasuk pentomin yang diketuai oleh Unit Psikologi JKN Perak bersama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), persembahan silat dan tarian dari JKN Perak dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), serta persembahan koir dari Hospital Batu Gajah, yang menambah keceriaan majlis Amanat PKN tahun 2026 ini.
Sebelum majlis berakhir, Pengarah Kesihatan Negeri menekankan bahawa tahun 2025 merupakan masa untuk mengemas sistem dan membina asas, iaitu menyusun semula serta mengukuhkan fundamental bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih mantap. Tahun 2026 pula menjadi tahun untuk mempercepat pelaksanaan dan menghidupkan nilai, bertindak pantas serta merealisasikan visi kita. Perubahan ini melibatkan kita semua, bukan hanya segelintir individu, dan setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam mencipta masa depan yang lebih baik. Semoga semua warga JKN Perak lebih bersemangat, kuat, matang, dan bersedia menghadapi tahun 2026 serta tahun-tahun akan datang, dengan momentum yang terus dipertingkatkan demi perkhidmatan kesihatan yang bermutu tinggi.


