
MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN JULAI 2026 JABATAN KESIHATAN NEGERI PERAK
Perhimpunan Bulanan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi bulan Julai 2026 telah berlangsung pada 30 Julai 2026 di Dataran D'Mesra yang dikendalikan oleh Bahagian Perubatan. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Feisul Idzwan bin Dato’ Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak dan turut dihadiri oleh barisan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri serta seluruh warga JKN Perak.
YBhg. Dato’ Pengarah memulakan ucapan dengan merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Nor Shaliza binti Rahman atas pelantikan beliau sebagai Pengarah Hospital Seri Iskandar berkuat kuasa mulai 6 Julai 2026. Pengarah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan jawatankuasa pelaksana Jabatan Kesihatan Negeri Perak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak Tahun 1448H/ 2026M.
YBhg. Dato’ Pengarah telah mengumumkan beberapa hari kesedaran dan sambutan penting yang telah dilangsungkan sepanjang bulan Julai. Ini bermula dengan, sambutan ‘World Brain Day’ pada 22 Julai yang menekankan penjagaan kesihatan neurologi. Seterusnya, hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit hepatitis, menggalakkan usaha pencegahan serta memperkukuhkan kepentingan saringan dan pengesanan awal di peringkat global.
Seterusnya, majlis diserikan dengan sesi penyampaian Pingat Anugerah Pekerja Contoh Bulanan (APCB) sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi serta kecemerlangan dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab.
Di samping itu, majlis diteruskan dengan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Pengibaran Jalur Gemilang 2026 Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Sambutan ini bukan sekadar memperingati tarikh bersejarah kemerdekaan negara, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotism dalam kalangan seluruh warga perkhidmatan Kesihatan Negeri Perak. Sebagai simbolik pelancaran, YBhg. Dato’ Pengarah telah menyempurnakan Penanaman Pokok Bunga Kebangsaan dan Penyerahan Jalur Gemilang Kepada semua Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Seterusnya, majlis diserikan dengan pelepasan belon sebagai gimik pelancaran rasmi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Pengibaran Jalur Gemilang 2026 Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Pelepasan belon (warna jalur gemilang – biru, kuning, merah dan putih) tersebut melambangkan harapan, semangat dan iltizam seluruh warga Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam menyemarakkan semangat patriotisme, menjulang Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, menghayati nilai-nilai kemerdekaan, serta memperkukuh semangat perpaduan demi kemajuan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
Pada akhir ucapan, YBhg. Dato’ Pengarah menyeru seluruh warga Jabatan Kesihatan Negeri Perak agar bersama-sama menjadikan setiap program kesihatan sebagai pemangkin untuk meningkatkan kesedaran, membudayakan amalan hidup sihat serta memperkukuh tanggungjawab bersama dalam menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Bahagian Perubatan selaku penganjur, serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi bulan Julai 2026.
Sumber: Facebook Rasmi JKN Perak


