
17 Mac 2026 – Perhimpunan Bulanan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak bagi bulan Mac telah diadakan di Dataran D’Mesra, JKN Perak. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Dr. Feisul Idzwan bin Dato' Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, dan turut dihadiri oleh barisan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri serta seluruh warga JKN Perak.
Majlis diserikan lagi dengan meraikan anggota-anggota cemerlang dalam Anugerah Pekerja Contoh Bulanan (APCB) bagi bulan Februari 2026.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada penerima anugerah. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga JKN Perak untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.
Selain itu, majlis turut merakamkan ucapan tahniah atas penerimaan Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) pada kategori Cemerlang daripada Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia:
Majlis turut mengambil kesempatan untuk meraikan warga kerja JKN Perak yang bersara pada bulan ini. Selamat bersara dan terima kasih atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Pengarah merakamkan penghargaan atas kejayaan program-program sepanjang bulan Ramadan seperti Majlis Berbuka Puasa, Program Infak Ramadan, dan Program Singgah Sahur yang mencerminkan keprihatinan warga JKN Perak.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mantan Ketua Setiausaha (KSU) KKM, YBhg. Dato' Sri Suriani Ahmad, dan mengalu-alukan kedatangan KSU KKM yang baharu, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam.
Di akhir ucapan, bersempena dengan kedatangan Syawal, YBhg. Dato’ Pengarah mewakili pengurusan tertinggi JKN Perak menitipkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga JKN Perak yang beragama Islam. Beliau menyeru agar semua warga kerja merancang perjalanan, sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya sewaktu pulang ke kampung, mengamalkan pemakanan seimbang, serta terus mengekalkan budaya kerja profesional berteraskan integriti.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan perhimpunan pada kali ini.
Sumber: Facebook JKN Perak


