Unit Tissue and Organ Procurement Team (TOP) Hospital Seri Manjung telah berjaya melaksanakan satu kes pendermaan tisu pada 23 Februari 2026 yang melibatkan seorang penderma organ yang menderma sepasang kornea mata. Kes tersebut merupakan pendermaan kornea pertama di Negeri Perak bagi tahun ini.
Penderma berkenaan telah berikrar sebagai penderma organ dan tisu semasa hayatnya. Selepas pemergiannya, ahli keluarga dengan penuh keikhlasan memberikan persetujuan bagi menunaikan hasrat murni tersebut. Hasil penilaian klinikal mendapati tisu kornea sesuai untuk tujuan pendermaan.
Kes ini dikoordinasikan oleh TOP Team HSM dengan kerjasama Unit Perolehan Organ (UPOH) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) serta National Transplant Resource Centre (NTRC), Kuala Lumpur.
Proses perolehan tisu bermula pada jam 8.45 malam dan prosedur pengambilan kornea bagi kedua-dua belah mata telah berjaya disempurnakan pada jam 10.15 malam oleh Pasukan Oftalmologi Hospital Seri Manjung yang diketuai oleh Pakar Oftalmologi, Dr. Vishel A/L Soundarajan, bersama Dr. Nur ‘Attiyyah binti Jasmi dan Dr. Bee See Yee. Tisu kornea yang diperoleh telah diserahkan kepada Dr. Mohamad Yuhairi bin Jamaludin (wakil UPOH HRPB) sebelum dibawa oleh pasukan NTRC untuk dihantar ke Bank Mata Sungai Buloh.
Proses perolehan tisu berkenaan telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Jabatan Oftalmologi dengan kerjasama dari Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Jabatan Patologi dan Jabatan Forensik.
Pihak Hospital Seri Manjung merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penderma serta penghargaan atas kesediaan dan keikhlasan mereka dalam merealisasikan pendermaan demi manfaat pesakit yang memerlukan.
Sekalung penghargaan turut dizahirkan kepada pihak Pengurusan Tertinggi hospital, Dr Phang Shiang Ling (Pakar Perubatan Anaestesiologi merangkap Penyelaras Tissue Organ & Procurement Team), semua jabatan yang terlibat, Dr. Mohamad Yuhairi bin Jamaludin dari UPOH HRPB serta National Transplant Resource Centre (NTRC), Kuala Lumpur atas kerjasama dan komitmen yang telah memastikan kelancaran pengurusan kes pendermaan ini.



