Sempena menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Kelab Sukan dan Kebajikan HSM (KESUKA HSM) telah mengambil inisiatif untuk menyumbangkan buah kurma kepada semua jabatan dan unit di Hospital Seri Manjung (HSM).
Program sumbangan ini merupakan salah satu usaha kelab KESUKA HSM bagi menyemarakkan semangat Ramadan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja HSM. Buah kurma yang sinonim dengan amalan berbuka puasa ini diharapkan dapat membantu memudahkan persiapan berbuka puasa serta menjadi simbol keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan kakitangan.
Sumbangan telah diagihkan kepada setiap jabatan dan unit sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan dedikasi warga kerja dalam menjalankan amanah serta tanggungjawab masing-masing. Inisiatif ini juga mencerminkan semangat kerjasama dan nilai kebajikan yang sentiasa diterapkan oleh KESUKA HSM dalam memperkukuhkan hubungan sesama warga organisasi.
Sumbangan ini telah disampaikan oleh Dr. Gridhari Nath Gingaiah, Pengarah Hospital Seri Manjung merangkap Yang Di-Pertua Kelab dan wakil Kelab KESUKA. Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat memberi manfaat serta menambahkan keberkatan sepanjang bulan Ramadan, di samping terus memupuk budaya saling menghargai dan menyokong antara satu sama lain.
Ikuti FB Hospital Seri Manjung


