Seksyen Farmasi Klinikal
Aktiviti farmasi klinikal di hospital dan klinik kesihatan boleh dikategorikan kepada beberapa aktiviti utama seperti yang berikut :
i. Perkhidmatan Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC)
Perkhidmatan Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) telah mula diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2004. Sehingga tahun 2014, perkhidmatan ini disediakan di semua 15 hospital dan 28 klinik di negeri Perak.
ii. Perkhidmatan Farmasi Wad
Perkhidmatan Farmasi Wad disediakan di semua hospital di negeri Perak. Bagi tahun 2014, perkhidmatan Farmasi Wad telah disediakan bagi disiplin Wad Perubatan (Am, Kardiologi, Nefrologi, Hematologi, Multidisiplin), Rawatan Rapi, Pediatrik, Pembedahan, Ortopedik, Psikiatri dan Kecemasan. Bagi perkhidmatan ini, Pegawai Farmasi klinikal ditempatkan di wad-wad hospital di mana mereka terlibat dalam ward round bersama-sama pasukan perubatan yang lain. Selain itu, pegawai farmasi klinikal juga terlibat dalam rekonsiliasi ubat- ubatan pesakit semasa kemasukan ke dalam wad menggunakan borang CP1, yang juga merupakan Key Perfomance Index (KPI) Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
iii. Perkhidmatan Maklumat Ubat (Drug Information Services)
Pelaporan Adverse Drug Reactions (ADR)/ Adverse Event Following Immunization (AEFI) adalah di antara perkhidmatan yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Maklumat Ubat di hospital dan klinik-klinik kesihatan. Adverse Drug Reactions (ADR) adalah kesan advers ubat yang tidak diingini yang berlaku pada dos yang biasa digunakan. Adverse Event Following Immunization (AEFI) pula merujuk kepada kesan advers yang dialami setelah pelalian diberikan yang tidak semestinya mempunyai hubungkait dengan pengambilan vaksin. Perkhidmatan ini adalah penting bagi memantau keselamatan penggunaan ubat- ubatan di Malaysia. Hasil daripada analisa pelaporan dapat mengesan isyarat keselamatan penggunaan ubat dan membolehkan tindakan regulatori diambil seperti:
- Pembatalan dan penggantungan produk
- Pengemaskinian sisip bungkusan
- Menghadkan penggunaan hanya untuk golongan pesakit tertentu
- Kajian terhadap pengurangan risiko pengguna ubat/ produk.
iv. Perkhidmatan Farmakokinetik Klinikal
Perkhidmatan farmakokinetik klinikal menyediakan perkhidmatan pemonitoran ubat terapeutik yang melibatkan ujian paras ubat di dalam darah.
v. Perkhidmatan Nutrisi Parenteral
Perkhidmatan nutrisi parenteral adalah di antara perkhidmatan penyediaan sediaan steril yang disediakan di hospital berpakar tertentu di negeri Perak. Ia memberikan perkhidmatan penyediaan nutrisi parenteral dan admikstura intravena bagi pesakit-pesakit di wad. Selain itu, kerjasama dengan profesional kesihatan lain juga dilakukan dalam memberikan regimen sokongan nutrisi terbaik kepada pesakit.
vi. Perkhidmatan Farmasi Onkologi
Perkhidmatan farmasi onkologi adalah satu lagi perkhidmatan penyediaan sediaan steril yang disediakan di hospital berpakar tertentu di negeri Perak. Ia memberikan perkhidmatan penyediaan larutan ubat-ubatan sitotoksik untuk pesakit kanser.
vii. Perkhidmatan Home Medication Review
Home Medication Review (HMR) merupakan perkhidmatan yang diperkenalkan sejak tahun 2012 di mana pasukan HMR yang terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, jururawat dan pemandu kenderaan akan melawat rumah pesakit bagi memastikan penggunaan ubat di rumah adalah berkualiti. Penggunaan ubat secara berkualiti mampu mengawal penyakit kronik pesakit dan menambah baik kualiti kehidupan seharian pesakit. Sehingga kini, perkhidmatan HMR bertumpu kepada dua golongan pesakit; pesakit Psikiatrik dan pesakit Geriatrik (golongan emas yang menghidap penyakit kronik seperti Hipertensi, Diabetes Mellitus dan Hiperkolesterolemia)
viii. Perkhidmatan Penggunaan Antibiotik Secara Rasional
Perkhidmatan ini dimulakan seawal tahun 2014 bagi membendung masalah kerintangan antibiotik yang kian menjadi akibat penggunaan antibiotik yang tidak rasional. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan program Antimicrobial Stewardship (AMS). Program ini adalah bertujuan untuk mengawal pengunaan antibiotik di kalangan pegawai perubatan dan memastikan pemilihan antibiotik adalah mengikut garis panduan National Antibiotic Guidelines (NAG) yang sedia ada. Setiap hospital dan klinik kesihatan perlu menubuhkan pasukan AMS yang terdiri daripada Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi, Jururawat dan Pegawai Mikrobiologi yang mempunyai peranan masing- masing dalam membendung masalah kerintangan antibiotik yang kini menjadi isu global.