Objektif Unit Kejururawatan adalah mempastikan perawatan menyeluruh yang berkualiti diberi kepada pesakit dengan menitikberatkan aspek fizikal, emosi, sosial dan keagamaan berpandukan nilai-nilai murni perkhidmatan penyayang, bekerja dalam satu pasukan dan beretika.
Unit ini terdiri dari bahagian Wad 1(Materniti), Wad 3 (Perempuan), Wad 4 (Pediatrik) dan Wad 5 (Lelaki).
Sejajar dengan objektif tersebut, untuk menyediakan perkhidmatan rawatan yang mesra pelanggan, Piagam Pelanggan di wad-wad khususnya telah dikaji semula dan dibuat penambahbaikan supaya bersesuaian dengan kehendak pelanggan. Bagi memudahkan janji-janji terpahat sampai kepada pelanggan maka ianya dipamerkan disemua tempat yang stategik seperti di ruang legar berhampiran pintu masuk utama wad.
Kajian Kepuasan Pelanggan telah dikaji semula dengan menokok tambah jika terdapat sebarang kekurangan supaya selari dengan kemahuan pelanggan. Sehubungan dengan itu format maklumbalas telah diubahsuai untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan mengemukakan cadangan atau sumbangsaran idea yang boleh membantu mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
Sedikit demi sedikit perubahan dilakukan untuk mencapai hasrat organisasi, penekanan terhadap orientasi wad dan menyediakan air minuman untuk mengalu-alukan kehadiran pesakit dan mengiringi kepulangan mereka.
Mengekalkan mutu sajian yang sesuai dengan selera pesakit juga amat dititik beratkan. Menu citarasa diet telah mula diperkenalkan dengan mengambilkira sebarang teguran kearah kebaikan dan perubahan dilakukan jika bersesuaian.
Melalui maklumbalas yang diterima, kepuasan pelanggan mencapai 97%. Berbagai usaha telah dilakukan bertujuan untuk mengekalkan mutu rawatan yang diberi mengikut standard dan piawaian yang diiktiraf. Audit prosedur dilakukan dengan lebih kerap dan segala teguran yang diterima diambilkira untuk memastikan pesakit mendapat rawatan yang holistik.
Bagi melengkapkan anggota kejururawatan dengan kemahiran pengetahuan serta keadah rawatan masa kini yang sentiasa meningkat, mereka telah diberi pendedahan dengan mengikuti kursus, latihan attachment, persidangan, seminar samada atas anjuran setempat atau dihantar ke hospital/agensi lain selaku menganjur.