PENGENALAN DAN FUNGSI UNIT
Unit Radiologi merupakan salah satu unit sokongan klinikal yang memainkan peranan penting dalam sistem perkhidmatan kesihatan hospital. Unit ini bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan radiologi bagi membantu pegawai perubatan membuat diagnosis yang tepat, merancang rawatan serta memantau perkembangan penyakit pesakit.
Unit Radiologi Hospital Seri Iskandar terletak di bangunan utama hospital dan bersebelahan dengan Unit Patologi serta Unit Transfusi. Selain itu, lokasinya yang berhampiran dengan Unit Kecemasan & Trauma memudahkan pengurusan pesakit yang memerlukan rawatan segera.
Misi
- Memberi perkhidmatan yang profesional dan berkesan dalam perawatan pesakit menggunakan peralatan berteknologi terkini dengan anggota yang kompeten dan berdedikasi.
Visi
- Menyediakan perkhidmatan radiologi yang cekap, tepat dan selamat serta mempunyai nilai diagnosa yang tinggi.
Perkhidmatan yang disediakan oleh unit ini adalah:
- Radiografi Am.
- Radiografi Mudah Gerak.
- Pemeriksaan Ultrasound (mengikut jadual lawatan pakar dari Hospital Seri Manjung pada setiap bulan)
- Menguruskan temujanji pemeriksaan khas yang memerlukan rujukan luar terutama di Hospital Seri Manjung.
Perkhidmatan unit ini disokong oleh peralatan yang terkini iaitu Digital Radiography (statik dan mudah gerak), mesin Ultrasound dan dilengkapi dengan Sistem PACs di mana capaian data lebih cepat, mudah dan tepat serta dikendalikan oleh Juru X-Ray yang bertauliah dan berdaftar dengan Profesion Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia yang kompeten dalam bidang radiografi serta sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan radiasi yang telah ditetapkan. Mereka turut dibantu oleh Pembantu Perubatan Kesihatan.
Operasi unit adalah pada waktu pejabat, iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Namun begitu, bagi memenuhi keperluan rawatan kecemasan dan kes segera secara 24 jam termasuk pada hari minggu (Sabtu dan Ahad) serta Cuti Khas, sistem penggiliran syif (pagi, petang dan malam) turut dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Unit Radiologi ini turut dikawalselia oleh Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP), Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN Perak) bagi memastikan pematuhan terhadap akta, peraturan serta standard keselamatan radiasi yang ditetapkan. Pemantauan dan audit yang dijalankan secara berkala adalah bagi menjamin perkhidmatan yang selamat, berkualiti dan memenuhi keperluan perundangan.
Seiring dengan perkembangan teknologi perubatan, Unit Radiologi sentiasa komited dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui penambahbaikan berterusan, latihan kompetensi staf serta pematuhan kepada piawaian dan peraturan yang ditetapkan. Unit ini juga berperanan menyokong Jabatan Kecemasan, wad serta klinik pakar dalam memastikan penyampaian rawatan yang cepat, selamat dan berkesan kepada pesakit.


